Monday, June 2, 2008

Parabola Haram

Parabola haram di Pantai Remis, Segari

PANTAI REMIS 27 Jan. – Pemasangan parabola haram dikesan semakin berleluasa di sini, dipercayai ekoran daripada ketiadaan tindakan pihak berkuasa iaitu Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dalam menangani perbuatan tersebut.
Penggunaan parabola haram yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan itu dikatakan telah bermula sejak dua tahun lalu tetapi sehingga kini tidak ada seorang pun penduduk yang dikenakan tindakan.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Segari dan Pantai Remis di sini mendapati, beberapa rumah termasuk rumah nelayan di pelantar ikan dipasang set parabola itu.
Selain itu, penduduk di kawasan pelantar pendaratan ikan juga dikesan memasang peralatan ‘piring’ penerima isyarat pancaran secara terang-terangan tanpa sebarang perasaan takut.
Keadaan tersebut mungkin disebabkan kawasan berkenaan jarang dimasuki pihak penguat kuasa SKMM walaupun lokasinya hanya terletak kira-kira dua kilometer dari pekan Pantai Remis.
Menurut seorang penduduk yang enggan dikenali, set parabola haram itu boleh diperolehi dengan mudah dan ditawarkan pada harga serendah RM170 di pasar-pasar malam sekitar daerah ini.
‘‘Ada juga ejen-ejen haram yang pergi rumah ke rumah bagi mempengaruhi penduduk supaya memasang set parabola ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk yang juga enggan dikenali mendakwa, sehingga kini, penguat kuasa SKMM tidak pernah menjalankan sebarang operasi di kawasan ini.
Tegasnya, penguat kuasa SKMM sepatutnya turun padang dan mengambil tindakan ke atas pengguna peralatan haram itu.
‘‘Jika susah sangat, saya cadangkan SKMM pinda sahaja peruntukan undang-undang di Parlimen supaya semua orang boleh pasang parabola,” katanya.
Mengikut Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), pemasangan sebarang peralatan yang tidak menepati piawaian yang ditetapkan seperti parabola adalah tidak dibenarkan.
Selain set parabola itu boleh dirampas oleh SKMM, individu terlibat boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

No comments: